Negeri Kelantan
yang mempunyai seni budaya tradisional yang unik ini juga mempunyai
sejarah persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M
(814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama
Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat
mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun
baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China,
dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima
persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada
Maharaja China itu.
Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan
Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Putera
Baginda Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama
Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah.
Pada 1477M, Sultan Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk
menyerang Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan
peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin
dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian
menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah
(1528M).
Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak
ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah
baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan
putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada
1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin
dengan Cik Banun Puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja
Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah
dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.
Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang
berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah
dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein
mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkam menjadi
Permaisuri Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu
Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah tenggara Kuala Krai.
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi
terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam
dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang menggelarkan Cik Wan Kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.
Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor
telah ditabal menjadi Sultan pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan
dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang
mangkat sewaktu masih kecil dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang
dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong
sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya
nanti.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh
penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal
kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang
menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri
Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah
iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah
Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke
Kota Jelasin di Kota Mahligai.
Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam
(1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami baginda tidak boleh
disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan
telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu
Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri
Saadong.
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja
Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai
pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak
Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit
Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.
Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di
tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan
mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak
dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M
(1086H).
Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah
bergelar Temenggong Sultan Omar mempunyai lima orang putera dan puteri,
iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah,
Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Raja Omar mangkat pada 1721M (1132H),
Baginda Long Bahar telah ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak
puteri sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar adalah putera
Raja Petani (Wan Daim) yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah
ke Kelantan bersama ayahandanya dan berkahwin dengan Raja Pah Puteri
Sultan Omar dan bersemayam di Sening dekat Jembal.
Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja
Perempuan Patani bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama
Long Yunus dan dua orang puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang
berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Geting yang memerintah
di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta
dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long
Pandak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja Kubang Labu,
dan adiknya pula Long Muhammad dilantik menjadi Raja Muda.
Kemudiannya pada 1758M, Long Pandak telah mangkat di tangan Long
Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pandak membunuh
isterinya Tengku Tengah iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long
Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa
pemerintahan Long Muhammad telah meletus peperangan antara pihak Long
Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dengan Mandor Mis,Penghulu
Adas(ipar Mandor Mis),Long Yunus dan Long Gaffar, putera kepada Raja
Reman di Hulu Perak. Dalam peperangan pada 1762M, Long Muhammad dan Long
Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh
Long Yunus. bagi mengenang jasa yang membantunya dalam peperangan itu,
maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana
Menteri dengan diberi gelaran Engku Sri Maharaja Perdana Menteri
memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh.Mandor Mis dilantik
Penghulu Menteri@bendahari dengan diberi gelaran Dato' Maharaja Wangsa
serta diberi kuasa berbuat dan memerintah Kampung yang sekarang dipangil
Kampung Lundang, Penghulu Adas diberi kuasa berbuat Kampung serta
dilantik menjadi Penghulu Kampung tersebut yang sekarang dipangil
Kampung Kaduk. Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh
pemerintahan negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya
dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.
No comments:
Post a Comment